Tuesday, October 20, 2009

Politik Di Mana-Mana

Salahkah kita berjinak-jinak dengan politik?
Adakah politik untuk hiburan dewasa seperti pornografi? Semua kita berpolitik tanpa kita sedar. Di sekolah rendah kita berpolitik di mana ada anak-anak kecil yang teringin menjadi pengawas kerana nampak seperti wira di mata guru-guru.

Politik
adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain.

Siapa ada kuasa maka dia yang berhak membuat keputusan dan prioriti terletak dalam tangan pemilik kuasa. Dalam institusi kekeluargaan, si bapa merupakan ketua keluarga dan apa untuk dihidang semasa makan tengah hari nanti adalah keputusannya. Secara langsung atau tidak memang ketua keluarga yang menentukan menu. Secara langsung pabila si bapa berkata,

"Yang, hari ni awak masak kari ikan ya? Saya belikan ikan."

Secara tidak langsung pabila si bapa hanya menghulurkan wang bulanan kelurga kepada isteri dan si isteri yang mempunyai kuasa untuk menentukan apa untuk dimakan.

Sehingga ke institusi sekecil itu politik sudah wujud maka tidak hairanlah politik dijadikan permainan di peringkat tertinggi.

Setiap perkara hadir dengan masalah dan setiap masalah hadir dengan penyelesaian. Bayangkan apabila si bapa mengabaikan tanggungjawabnya sebagai kepala keluarga dengan tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Namun dia masih lagi menggunakan kedudukan hierarki untuk bertindak menentukan menu santapan keluarga. Lebih parah apabila si ibu perlu memberi belanja kepada si bapa. Sehari atau seminggu mungkin biasa. Sekeras-keras batu pun boleh pecah jika air dialirkan tanpa henti. Maka si ibu membuat keputusan menuntut cerai dan institusi keluarga itu sudah terbubar. Tiada lagi si bapa dalam hierarki itu dan si ibu mengambil alih kuasa menerajui keluarga.

Bayangkan lagi apabila di mana politik wujud di peringkat tertinggi dalam institusi kenegaraan. Pemegang status hierarki tertinggi ditentukan oleh rakyat mahupun warisan abah dan mak mereka. Setiap keputusan yang dibuat sepatutnya adalah untuk rakyat namun ramai di antara mereka yang alpa. Setiap keputusan dibuat hanya untuk melampiaskan nafsu mereka. Nafsu yang melebihi keperluan seluruh rakyat. Acap kali pilihan raya, macam-macam 'pelan strategik' diuar-uarkan namun apabila kedudukan hierarki sudah didiami maka suara pengundi umpama langau bagi mereka.

Sesi pilihanraya seterusnya dilihat rakyat bangkit bersuara melalui undian. Yang koru yang leka tidak lagi menjadi pilihan. Pemberi harapan yang meraih majoriti. Penabur janji yang naik takhta. Yang pakai tanjak yang pandu BMW takpayah berkempen. Kuasa dan wang mak abah dahkebas dari rakyat untuk mereka.

Ketua yang baru juga amat mengecewakan. Malah lebih parah apabila satu kampung runtuh dan ketua yang lama dipersalahkan.

Politik tidak wujud di kalangan manusia. Di alam fauna juga wujud. Yang lebih kuat yang lebih agresif menjadi ketua kawanan dan dialah yang menentukan hala tuju kawanan. Singa dan babun sudah turun-temurun mengamalkan politik seperti itu kerana mereka tidak perlu mengundi tidak perlu berkempen. Kredibiliti ketua ketara kelihatan melalui kekuatan. Kita manusia punya akal. Tidak perlu bertelagah demi kedudukan hierarki yang menjanjikan harta dan kuasa.

Bilalah si korup si penipu ini akan menjadi seperti bapa yang tidak bertanggungjawab. Bilalah suara rakyat didengari seperti ngauman harimau yang membuat hidupan lain gentar. Bukan lagi seperti langau atau nyamuk yang boleh ditepis sesuka hati?

Monday, October 5, 2009

Membosankan Seketika

Sekarang ni, aku sedang buntu walaupun pencarian keramat telah pun tamat dengan jayanya.

Ini bukan blog peribadi atau diari. Oh,samalah tu.

Baca akhbar seperti menipu diri sendiri. Menonton televisyen pun menipu diri sendiri. Semua terjadi apabila dunia disajikan oleh pandangan satu perspektif.

Hidup sendiri bukanlah sumbang. Namun gagah kerana kuantiti itu yang perlu dibimbang.

Nasi dihidang seperti menjamu kucing. Ya. Kucing makhluk Tuhan. Manusia makhluk Tuhan. Apakah kamu lebih rela melihat manusia sespesies kamu ini disentap hak-haknya?

Apabila ditanya tentang hak mereka, apakah yang kamu jawab?

"Entah, saya sudah serahkan segala kepada orang bawah saya"

Konkrit bagi kamu. Sekeras-keras konkrit adalah campuran yang paling rapuh.

Tiada siapa yang ingin mendengar keluhan anak ladang ini. Tiada siapa yang berdiri menegakkan kebenaran hakiki. Kesemua mata mereka telah dikaburkan dengan seberkas not yang bernilai-nilai. Biarlah anak-anak ladang itu dicuri haknya. Supaya anak-anakku yang membesar sihat dengan hak mereka.
Bukankah mereka telah dijanjikan kejayaan?

Memang benar sabar itu sebahagian daripada Iman. Adakah menduga kesabaran itu pecahan dari bahagian Iman? Belum lagi merampas hak orang lain yang wajib dipotong tangan hukumnya.

Dunia memang kian berpusing. Bukan berputar menentang putaran jam. Berkecamuk seperti enjin Mitsubishi Lancer X yang sedang memecut di NKVE tiba-tiba diubah transmisinya ke gear undur.

Bila si miskin bersalah. Memang dia bersalah. Tidak perlu bual bicara. Tidak perlu dibela.

Bila si kaya membelasah. Memang dia yang maha benar. Dia yang maha lurus. Semua kerana kertas yang didewa-dewakan. Kerana logam yang dibangga-banggakan. Kerana batu yang diagung-agungkan.

Yang menguat kuasa itulah boneka. Yang talinya berupa duit dan tukang karutnya yang memakai kot dan tali leher.

Bukan semua yang memakai kot itu jahat. Bukan semua yang memakai tali leher itu perampas. Ramai dari mereka yang terpaksa berpanas lelah kerana hidung telah dicucuk dan dipasang tali.

Biarlah.
Suaraku telah disekat dengan propaganda kebebasan bersuara yang plastik.
Mataku sedang dikaburkan dengan propaganda palsu dari puncak sana.

Monday, September 28, 2009

Mabuk Engkau!




takkisahlah apa parti apa agama. Arak tetap perosak!!

Mabuk mabuk engkau minum lagi!!

Baru-baru ini ada ura-ura mengatakan bahawa Selangor akan mengharamkan penjualan arak secara terbuka di dlam negeri tersebut. Bagus.

Menteri Besar pula cakap. Kita tiada perancangan mengenai perkara tersebut dan tidak akan menguatkuasakan larangan itu dan menyarankan kepada peniaga supaya mempunyai kesedaran sendiri.

Kes selesai. Namun rakyat mula berkempen memboikot rangkaian francais yang menjual arak secara terbuka di serata negara. Kasihan kepada towkey kedai. Haha.

Dalam Islam meminum arak adalah dosa besar kerana arak menghilangkan pertimbangan dan mampu menyebabkan peminumnya melakukan perkara-perkara di luar kawalan. Mereka tidak akan menyedari perbuatan mereka dan akan memberikan alasan mabuk kerana telah melakukan kesalahan.

Apakah arak?
Arak adalah ibu segala maksiat dan ianya adalah maksiat paling mengaibkan.
Arak adalah segala jenis minuman yang memabukkan dan terdapat beberapa peratus alkohol dalam kandungan. Peratusan alkohol juga mempengaruhi tahap kemabukkan peminumnya.

Mengapa manusia minum arak?
Walaupun arak telah wujud sejak berkurun lama dan nyata telah membawa banyak kerosakan, manusia tetap minum arak. Minum arak buat kita nampak hebat. Minum arak buat kita nampak matang. Minum arak boleh meredakan malah menghilangkan tekanan dalam hidup. JANGAN TERPEDAYA dengan propaganda-propaganda yang diuar-uarkan oleh pengusaha arak kerana apa yang mereka mahu adalah DUIT.

Hebatkah berjalan terhuyung-hayang, bertutur seperti sewel berbau busuk selepas minum arak?
Matangkah jika tidak mampu berfikir sendiri apabila alkohol mengawal fikiran?
Hilangkah tekanan dan masalah selepas sedar dari mabuk?

Mengapa Malaysia tidak mengharamkan penjualan arak secara total?
Pendapatan Malaysia adalah dari cukai arak,cukai rokok dan eksport babi. Duit dari hasil tersebut diharap bukan yang membiayai graduan-graduan di menara gading dan bukan yang menjadi subsidi atau apa-apa yang haram.Aku serahkan kepada Tuhan. Memang banyak lagi sumber pendapatan kerajaan. Yang halal Insya Allah sampai kepada rakyat. Yang haram biarlah yang bertanggungjawab menanggungnya.


Kitab suci Al-Quran melarang pengambilan alkohol di dalam ayat berikut:

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” (Al-Maidah 5:90)

Tidak kisahlah anda Islam atau tidak. Arak bukanlah pilihan terbaik untuk meredakan tekanan atau gaya hidup.

Wednesday, September 16, 2009

Salam Aidilfitri

Pejam celik Ramadhan mula meninggalkan kita. Pelbagai dugaan telah dihadapi. Lapar,dahaga,perempuan seksi,mencarut,clubbing dan apa-apa lagi yang menduga mencabar. Namun janganlah hanya Ramadhan yang menjadi penghalang untuk melakukan perkara-perkara yang mendatangkan mudarat.

Syawal kembali membuka tirai dan umat Islam seluruh dunia berlumba-lumba meraikan kemenangan. Menang kerana Ramadhan melabuhkan tirai? Menang kerana selepas ini boleh kembali mencarut,menipu,memfitnah,membazir?

Oh Manusia
Pemikiran yang telah diracuni oleh gelombang pemodenan ini sukar untuk diubati. Sukar mencari vaksinnya. Sukar diubati dengan suntikan anti batuk kering.
Pembaziran menjadi ikutan dan kian parah. Syawal menjadi satu musim untuk seluruh manusia melontar kegembiraan. Tiada masalah bagiku kerna itu hak manusia.
Belum lagi disentuh isu kemalangan yang mengorbankan jiwa. Isu pecah rumah. Isu hutang mungkin akan menjadi satu ombak besar dalam media perdana.

arghhhhh!!!!!!


Salam Aidilfitri dari aku.

Saturday, September 5, 2009

Permainan Catur Kapitalis

Apabila manusia dicaturkan


Permainan papan ini muncul pada pertengahan kedua abad ke-15 ini sebenarnya adalah tranformasi kepada permainan yang sama malah lebih tua yang datangnya dari India.
Ia dimainkan oleh dua orang di atas papan catur yang mempunyai 64 petak yang disusun dalam grid 8x8. Buah-buah catur yang berbeza bentuknya mempunyai nama dan bilangan yang khusus. Satu King, satu Queen, dua Bishop, dua Rook, dua Knight serta lapan Pawn. Setiap pemain akan mewakili warna masing-masing,kebiasaannya putih dan hitam dan menyusun buah-buah catur secara menghadap.
Permainan yang berobjektifkan mematikan langkah si Raja ini menarik minat ramai manusia kerana proses mencapai objektif catur tidaklah semudah menendang bola ke arah gol tanpa penjaga gol.

Kepada yang tidak pernah mengenal catur harap maklum bahawa tulisan kali ini bukanlah mengenai apa itu catur namun apa yang dikaitkan oleh catur dengan apa yang berlaku.
Dalam X-Men III- The Last Stand, semasa puak Magneto ingin menyerang pusat kerajaan, Magneto ada berkata kepada Pyro yang ghairah untuk menyerang berbunyi

"In chess, the pawns die first"

Secara tipikal pemain catur akan menggerakkan pawn atau askar botak sebagai pemula peperangan. Ada yang menggerakkan Knights atau kesatria, buah yang berbentukkan kuda. Namun penutupnya memang Raja yang diburu.

Ada pemain yang sengaja membunuh askar botak dengan alasan satu askar aku mati tapi Raja kau memang dahmati kutu.

Fenomena catur sebenarnya memang berlaku di sekitar kita.
Yang punya wang punya kuasa sememangnya sentiasa berada di belakang berperisaikan kelompok terdesak.
Punya wang maka punya orang. Punya kuasa maka boleh seksa.

Capitalist defined by Karl Marx in Das Kapital as one who owned working capital including machinery and made money by letting others work on those machines.

Tidak molek jika berbicara tanpa apidavit. Lihat saja Amerika, George W Bush. Dia bersemangat untuk memerangi keganasan. Maka pemuda-pemuda dari pekan-pekan kecil di Alaska atau Texas dikerahkan untuk mencari pengganas yang mengganas. Sedangkan pengganas adalah pihak yang mendatangkan ketakutan. Dan berbeza dengan pihak yang mempertahankan diri.
Bukan Bush yang mengangkat M16 bukan Condoleeza Rice yang memacu Hornet tetapi Jack anak mak cik Janet dari Pennsylvania yang terkorban mahupun mengalami gangguan mental.
Itu baru Amerika. Jika kita tutup aplikasi zum pada mata kita lihatlah yang berlaku di atas tanah yang kita pijak dalam radius 329,847 kilometer per segi.
Anak-anak muda dihantar berdemonstrasi. Tidak salah berdemonstrasi kerana dengan itu dasar pelik dari kerajaan mendapat reaksi yang berbeza dari rakyat-rakyat yang mengundi.
Menjadi masalah hanya di mana Datuk-Datuk ketika anak-anak ini diberkas seperti PATI?

"In chess, the pawn die first"

Tapi yang ini? Entah mana King, Queen, Knight, Bishop dan Rook?
Atas alasan politik yang miskin hilang kerja. Benarlah kata mereka. Perjuangan mereka suci. Mereka ditangkap oleh askar-askar kufur. Namun Rasulullah tidak mengajar mengkafirkan Muslim yang lain. Malah mengkafirkan orang yang telah nyata kafirnya adalah satu dosa besar.
Menyingkap kisah 'Kepala Lembu' merupakan satu kisah yang amat memalukan. Bukankah Islam mengajar untuk menghormati pegangan yang lain?

Tidakkah itu sudah melukakan hati dan perasaan penganut Hindu? Tidakkah ianya berbaur perkauman dan bertujuan untuk menghasut? Jika benar ingin membantah, guna keamanan bukan dengan menyentuh sensitiviti agama lain. Cuba jika ada masjid dibom atau karikatur Rasulullah diedar kembali. Tidakkah mungkin tragedi 13 Mei 1969 berulang?

did we learn from 13th May,

our father died in a rage
xsecondxcombatxinfidelityx

Memang benar hidup ini bagai catur. Catur berdarah . Yang lemah memang menjadi kambing hitam. Yang tidak punya kuasa mesti tunduk patuh kepada yang punya harta. Atau Permainan Catur Kapitalis ini tidak mendatangkan kemenangan kepada mereka yang menindas.