Friday, October 30, 2009

Dulu, Hari Ini, Esok?

Dulu, Tora,Ding Dang dan Jojo menjadi perhatian.
Tora datang lagi!!
Si anak sudah menarik seluar sang bapa untuk mendapatkan Tora.
Bebola coklat dan permainan yang berinovasi menarik perhatian. Seringgit atau dua seakan besar nilainya kepada kanak-kanak zaman Ding Dang. Lebih-lebih lagi anak-anak yang berpengkalan di luar bandar.
Genap masanya untuk melancarkan produk baru, ikla-iklan dengan pelakon keras wataknya mula disiar. Dan ketika itu permainan yang lama mula ditempatkan di dalam bakul mahupun rak. Si ibu mula membebel ketika mengemas permainan yang berselerak dan maki berselerak dengan promosi yang ke udara. Si anak tidak lagi dibawa bersama untuk membeli-belah.
Hari ini, Playstation Portable, Nintendo XP, mahupun GameBoy SP seperti botol air untuk anak-anak kecil. Dibawa ke mana sahaja dituju. Tiada lagi tumpuan kepada kata ibu bapa. Memanglah, kanak-kanak tidak boleh mendengar perbualan orang tua. Itu yang diajar. Si ibu yang beria-ia memujuk bapa untuk berbelanja ke atas gajet anak-anak. Biarlah. Hasil titik peluh mereka. Dua,tiga ribu sebulan bukanlah masalah kepada mereka.

Dulu, anak-anak diajar tarian tradisi yang kontroversi. Zapin, Tari Piring, Kuda Kepang atau Barongan. Sungguhpun terpaksa, si anak tetap mengikut apa yang dimahu ibu dan ayah. Muzik penuh tradisi yang diserap ke gegendang telinga yang amat sensitif ini.

Hari ini, tidak perlu dipaksa. Tecktonik, shuffle dan bermacam lagi sudah menjadi budaya di seluruh pelusuk. Lagu-lagu ber'bass' galak menjadi halwa telinga. Kata orang muzik 'clubbing'. Mungkinkah anak-anak ini menjadi pewaris kelab-kelab malam penuh noda ini kelak? Siapa tahu?

Dulu, rotan, tali pinggang, paling tidak tangan menjadi pembelai setia.Emak dan ayah amat menyokong guru-guru menjadikan rotan sebagai alat sampingan dalam proses pembelajaran.

Hari ini, 'Jangan sesiapa sentuh anak saya! Biarlah anak saya biadap atau lembab. Dia anak saya. Saya beri dia makan.' Niat suci handak mengajar telah dicemar dengan kes mahkamah. Biarlah, memanjakan anak juga salah satu dalam proses pendidikan.

Esok, mungkinkah anak-anak ini yang membanjiri IPT? Produk-produk manja.
Esok, mungkinkah anak-anak ini yang mempamerkan tari-tarian tradisi yang penuh kontroversi itu?
Esok, adakah si manja-manja ini yang mengawal kewangan negara?

Esok, adakah anak-anak ini yang menjadi orang pertama negara?
Esok, bolehkah anak-anak ini mendidik cucu cicit kita ke arah yang lebih baik?
Esok, adakah syarikat Ding Dang ini masih beroperasi?

Sunday, October 25, 2009

Berita Baik Untuk Pengguna Komuter

Mengikut Bajet 2010, [yang sepatutnya Belanjawan  2010, sebab PPSMI begitulah alamatnya] sistem perkhidmatan pengangkutan awam akan dibaik pulih.

-8 Electric Multiple Unit (EMU) akan ditambah manakala 9 lagi yang sedia ada akan dibaik pulih dalam syarikat KTMB Komuter.

Yang ni memang seakan-seakan membawa kegembiraan kepada rakyat-rakyat yang malas nak beli minyak yang kurang berkualiti kerana telah 'diklepet' pihak-pihak tertentu.

- Laluan pejalan kaki berbumbung juga akan dibina yang mana menghubungkan stesen-stesen LRT dan pusat-pusat aktiviti.

Seperti berita baik namun tidak semua rakyat gemar akan harapan. Memang pengangkutan awam lebih selamat yang mana bas akan menyusuri lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan pada pertengahan tahun ini.

Diharap kami tidak perlu lagi menunggu sehingga 3 unit komuter sebelum dapat menaiki salah satu.
Diharap tidak lagi kami menunggu seperti anak-anak Afrika yang kebuluran. Sebenarnya mereka lebih mulia daripada si gila anoreksia nervosa seluruh dunia.
Diharap kami membayar pada kadar maksimum untuk perkhidmatan positif maksimum.
Diharap syarikat-syarikat bas prihatin akan pembeli-pembeli tiket yang sememangnya mengharapkan keselesaan dan keselamatan 100%.
Diharap jaminan yang diuar-uarkan di dalam kaca tv yang si adik asyik dengan perkataan 'TENGOK!' bukan sekadar mengisi slot iklan yang bersepah-sepah di TV3.

Laluan pejalan kaki berbumbung diharap bukan untuk menutup mata rakyat di mana tender-tender pendiri tiang dan pemasang atap tergolong dalam kalangan kerabat abang-abang yang kaki rembat. Diharap tender itu dibuka secara adil dan bukan secara monarki.

Tiada langsung bas secara terus dari Subang terus ke Sungai Buloh. Jangan kerana di dalam peta jaraknya tidak sampai seinci bas secara terus tidak diperlukan. Jangan larang kami untuk berhubung kedua-dua tempat ini secara haram. Adalah tidak adil jika kami mesti ke Kuala Lumpur sebelum se Sungai Buloh. Dan amat diyakini ada beribu-ribu lagi jalan yang menerima nasib seperti Subang-Sungai Buloh. Mungkin kerana Sungai Buloh bukan seperti Bukit Damansara, Bukit Antarabangsa, tetapi kalau tiada buruh-buruh dari Sungai Buloh ini tiadalah Bukit-Bukau itu.


Jangan Beri Harapan! !

Tuesday, October 20, 2009

Politik Di Mana-Mana

Salahkah kita berjinak-jinak dengan politik?
Adakah politik untuk hiburan dewasa seperti pornografi? Semua kita berpolitik tanpa kita sedar. Di sekolah rendah kita berpolitik di mana ada anak-anak kecil yang teringin menjadi pengawas kerana nampak seperti wira di mata guru-guru.

Politik
adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain.

Siapa ada kuasa maka dia yang berhak membuat keputusan dan prioriti terletak dalam tangan pemilik kuasa. Dalam institusi kekeluargaan, si bapa merupakan ketua keluarga dan apa untuk dihidang semasa makan tengah hari nanti adalah keputusannya. Secara langsung atau tidak memang ketua keluarga yang menentukan menu. Secara langsung pabila si bapa berkata,

"Yang, hari ni awak masak kari ikan ya? Saya belikan ikan."

Secara tidak langsung pabila si bapa hanya menghulurkan wang bulanan kelurga kepada isteri dan si isteri yang mempunyai kuasa untuk menentukan apa untuk dimakan.

Sehingga ke institusi sekecil itu politik sudah wujud maka tidak hairanlah politik dijadikan permainan di peringkat tertinggi.

Setiap perkara hadir dengan masalah dan setiap masalah hadir dengan penyelesaian. Bayangkan apabila si bapa mengabaikan tanggungjawabnya sebagai kepala keluarga dengan tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Namun dia masih lagi menggunakan kedudukan hierarki untuk bertindak menentukan menu santapan keluarga. Lebih parah apabila si ibu perlu memberi belanja kepada si bapa. Sehari atau seminggu mungkin biasa. Sekeras-keras batu pun boleh pecah jika air dialirkan tanpa henti. Maka si ibu membuat keputusan menuntut cerai dan institusi keluarga itu sudah terbubar. Tiada lagi si bapa dalam hierarki itu dan si ibu mengambil alih kuasa menerajui keluarga.

Bayangkan lagi apabila di mana politik wujud di peringkat tertinggi dalam institusi kenegaraan. Pemegang status hierarki tertinggi ditentukan oleh rakyat mahupun warisan abah dan mak mereka. Setiap keputusan yang dibuat sepatutnya adalah untuk rakyat namun ramai di antara mereka yang alpa. Setiap keputusan dibuat hanya untuk melampiaskan nafsu mereka. Nafsu yang melebihi keperluan seluruh rakyat. Acap kali pilihan raya, macam-macam 'pelan strategik' diuar-uarkan namun apabila kedudukan hierarki sudah didiami maka suara pengundi umpama langau bagi mereka.

Sesi pilihanraya seterusnya dilihat rakyat bangkit bersuara melalui undian. Yang koru yang leka tidak lagi menjadi pilihan. Pemberi harapan yang meraih majoriti. Penabur janji yang naik takhta. Yang pakai tanjak yang pandu BMW takpayah berkempen. Kuasa dan wang mak abah dahkebas dari rakyat untuk mereka.

Ketua yang baru juga amat mengecewakan. Malah lebih parah apabila satu kampung runtuh dan ketua yang lama dipersalahkan.

Politik tidak wujud di kalangan manusia. Di alam fauna juga wujud. Yang lebih kuat yang lebih agresif menjadi ketua kawanan dan dialah yang menentukan hala tuju kawanan. Singa dan babun sudah turun-temurun mengamalkan politik seperti itu kerana mereka tidak perlu mengundi tidak perlu berkempen. Kredibiliti ketua ketara kelihatan melalui kekuatan. Kita manusia punya akal. Tidak perlu bertelagah demi kedudukan hierarki yang menjanjikan harta dan kuasa.

Bilalah si korup si penipu ini akan menjadi seperti bapa yang tidak bertanggungjawab. Bilalah suara rakyat didengari seperti ngauman harimau yang membuat hidupan lain gentar. Bukan lagi seperti langau atau nyamuk yang boleh ditepis sesuka hati?

Monday, October 5, 2009

Membosankan Seketika

Sekarang ni, aku sedang buntu walaupun pencarian keramat telah pun tamat dengan jayanya.

Ini bukan blog peribadi atau diari. Oh,samalah tu.

Baca akhbar seperti menipu diri sendiri. Menonton televisyen pun menipu diri sendiri. Semua terjadi apabila dunia disajikan oleh pandangan satu perspektif.

Hidup sendiri bukanlah sumbang. Namun gagah kerana kuantiti itu yang perlu dibimbang.

Nasi dihidang seperti menjamu kucing. Ya. Kucing makhluk Tuhan. Manusia makhluk Tuhan. Apakah kamu lebih rela melihat manusia sespesies kamu ini disentap hak-haknya?

Apabila ditanya tentang hak mereka, apakah yang kamu jawab?

"Entah, saya sudah serahkan segala kepada orang bawah saya"

Konkrit bagi kamu. Sekeras-keras konkrit adalah campuran yang paling rapuh.

Tiada siapa yang ingin mendengar keluhan anak ladang ini. Tiada siapa yang berdiri menegakkan kebenaran hakiki. Kesemua mata mereka telah dikaburkan dengan seberkas not yang bernilai-nilai. Biarlah anak-anak ladang itu dicuri haknya. Supaya anak-anakku yang membesar sihat dengan hak mereka.
Bukankah mereka telah dijanjikan kejayaan?

Memang benar sabar itu sebahagian daripada Iman. Adakah menduga kesabaran itu pecahan dari bahagian Iman? Belum lagi merampas hak orang lain yang wajib dipotong tangan hukumnya.

Dunia memang kian berpusing. Bukan berputar menentang putaran jam. Berkecamuk seperti enjin Mitsubishi Lancer X yang sedang memecut di NKVE tiba-tiba diubah transmisinya ke gear undur.

Bila si miskin bersalah. Memang dia bersalah. Tidak perlu bual bicara. Tidak perlu dibela.

Bila si kaya membelasah. Memang dia yang maha benar. Dia yang maha lurus. Semua kerana kertas yang didewa-dewakan. Kerana logam yang dibangga-banggakan. Kerana batu yang diagung-agungkan.

Yang menguat kuasa itulah boneka. Yang talinya berupa duit dan tukang karutnya yang memakai kot dan tali leher.

Bukan semua yang memakai kot itu jahat. Bukan semua yang memakai tali leher itu perampas. Ramai dari mereka yang terpaksa berpanas lelah kerana hidung telah dicucuk dan dipasang tali.

Biarlah.
Suaraku telah disekat dengan propaganda kebebasan bersuara yang plastik.
Mataku sedang dikaburkan dengan propaganda palsu dari puncak sana.