Tuesday, October 20, 2009

Politik Di Mana-Mana

Salahkah kita berjinak-jinak dengan politik?
Adakah politik untuk hiburan dewasa seperti pornografi? Semua kita berpolitik tanpa kita sedar. Di sekolah rendah kita berpolitik di mana ada anak-anak kecil yang teringin menjadi pengawas kerana nampak seperti wira di mata guru-guru.

Politik
adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain.

Siapa ada kuasa maka dia yang berhak membuat keputusan dan prioriti terletak dalam tangan pemilik kuasa. Dalam institusi kekeluargaan, si bapa merupakan ketua keluarga dan apa untuk dihidang semasa makan tengah hari nanti adalah keputusannya. Secara langsung atau tidak memang ketua keluarga yang menentukan menu. Secara langsung pabila si bapa berkata,

"Yang, hari ni awak masak kari ikan ya? Saya belikan ikan."

Secara tidak langsung pabila si bapa hanya menghulurkan wang bulanan kelurga kepada isteri dan si isteri yang mempunyai kuasa untuk menentukan apa untuk dimakan.

Sehingga ke institusi sekecil itu politik sudah wujud maka tidak hairanlah politik dijadikan permainan di peringkat tertinggi.

Setiap perkara hadir dengan masalah dan setiap masalah hadir dengan penyelesaian. Bayangkan apabila si bapa mengabaikan tanggungjawabnya sebagai kepala keluarga dengan tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Namun dia masih lagi menggunakan kedudukan hierarki untuk bertindak menentukan menu santapan keluarga. Lebih parah apabila si ibu perlu memberi belanja kepada si bapa. Sehari atau seminggu mungkin biasa. Sekeras-keras batu pun boleh pecah jika air dialirkan tanpa henti. Maka si ibu membuat keputusan menuntut cerai dan institusi keluarga itu sudah terbubar. Tiada lagi si bapa dalam hierarki itu dan si ibu mengambil alih kuasa menerajui keluarga.

Bayangkan lagi apabila di mana politik wujud di peringkat tertinggi dalam institusi kenegaraan. Pemegang status hierarki tertinggi ditentukan oleh rakyat mahupun warisan abah dan mak mereka. Setiap keputusan yang dibuat sepatutnya adalah untuk rakyat namun ramai di antara mereka yang alpa. Setiap keputusan dibuat hanya untuk melampiaskan nafsu mereka. Nafsu yang melebihi keperluan seluruh rakyat. Acap kali pilihan raya, macam-macam 'pelan strategik' diuar-uarkan namun apabila kedudukan hierarki sudah didiami maka suara pengundi umpama langau bagi mereka.

Sesi pilihanraya seterusnya dilihat rakyat bangkit bersuara melalui undian. Yang koru yang leka tidak lagi menjadi pilihan. Pemberi harapan yang meraih majoriti. Penabur janji yang naik takhta. Yang pakai tanjak yang pandu BMW takpayah berkempen. Kuasa dan wang mak abah dahkebas dari rakyat untuk mereka.

Ketua yang baru juga amat mengecewakan. Malah lebih parah apabila satu kampung runtuh dan ketua yang lama dipersalahkan.

Politik tidak wujud di kalangan manusia. Di alam fauna juga wujud. Yang lebih kuat yang lebih agresif menjadi ketua kawanan dan dialah yang menentukan hala tuju kawanan. Singa dan babun sudah turun-temurun mengamalkan politik seperti itu kerana mereka tidak perlu mengundi tidak perlu berkempen. Kredibiliti ketua ketara kelihatan melalui kekuatan. Kita manusia punya akal. Tidak perlu bertelagah demi kedudukan hierarki yang menjanjikan harta dan kuasa.

Bilalah si korup si penipu ini akan menjadi seperti bapa yang tidak bertanggungjawab. Bilalah suara rakyat didengari seperti ngauman harimau yang membuat hidupan lain gentar. Bukan lagi seperti langau atau nyamuk yang boleh ditepis sesuka hati?

No comments: