Sekarang ni, aku sedang buntu walaupun pencarian keramat telah pun tamat dengan jayanya.
Ini bukan blog peribadi atau diari. Oh,samalah tu.
Baca akhbar seperti menipu diri sendiri. Menonton televisyen pun menipu diri sendiri. Semua terjadi apabila dunia disajikan oleh pandangan satu perspektif.
Hidup sendiri bukanlah sumbang. Namun gagah kerana kuantiti itu yang perlu dibimbang.
Nasi dihidang seperti menjamu kucing. Ya. Kucing makhluk Tuhan. Manusia makhluk Tuhan. Apakah kamu lebih rela melihat manusia sespesies kamu ini disentap hak-haknya?
Apabila ditanya tentang hak mereka, apakah yang kamu jawab?
"Entah, saya sudah serahkan segala kepada orang bawah saya"
Konkrit bagi kamu. Sekeras-keras konkrit adalah campuran yang paling rapuh.
Tiada siapa yang ingin mendengar keluhan anak ladang ini. Tiada siapa yang berdiri menegakkan kebenaran hakiki. Kesemua mata mereka telah dikaburkan dengan seberkas not yang bernilai-nilai. Biarlah anak-anak ladang itu dicuri haknya. Supaya anak-anakku yang membesar sihat dengan hak mereka.
Bukankah mereka telah dijanjikan kejayaan?
Memang benar sabar itu sebahagian daripada Iman. Adakah menduga kesabaran itu pecahan dari bahagian Iman? Belum lagi merampas hak orang lain yang wajib dipotong tangan hukumnya.
Dunia memang kian berpusing. Bukan berputar menentang putaran jam. Berkecamuk seperti enjin Mitsubishi Lancer X yang sedang memecut di NKVE tiba-tiba diubah transmisinya ke gear undur.
Bila si miskin bersalah. Memang dia bersalah. Tidak perlu bual bicara. Tidak perlu dibela.
Bila si kaya membelasah. Memang dia yang maha benar. Dia yang maha lurus. Semua kerana kertas yang didewa-dewakan. Kerana logam yang dibangga-banggakan. Kerana batu yang diagung-agungkan.
Yang menguat kuasa itulah boneka. Yang talinya berupa duit dan tukang karutnya yang memakai kot dan tali leher.
Bukan semua yang memakai kot itu jahat. Bukan semua yang memakai tali leher itu perampas. Ramai dari mereka yang terpaksa berpanas lelah kerana hidung telah dicucuk dan dipasang tali.
Biarlah.
Suaraku telah disekat dengan propaganda kebebasan bersuara yang plastik.
Mataku sedang dikaburkan dengan propaganda palsu dari puncak sana.
1 comment:
bila plastik. lama2 orang buang recycle. jadik balik plastik baru. plg penting adalah prinsip keadilan ekonomi itu jelas dan dipraktek. bukan atas kertas aja mcm skang ni. btolkan bro!
Post a Comment