Friday, August 21, 2009

Semua Orang Berbicara Tentang Ramadhan

Ramadhan bermaksud panas terik. Bila sebut sahaja Ramadhan semua akan teringat akan puasa, solat sunat tarawikh , berbuka dan bersahur.
Tidak kurang yang terus teringat akan Hari Raya Aidilfitri. Persediaan untuk hari raya, perbelanjaan untuk hari raya dan semuanya tentang raya.

Puasa bermaksud menahan diri daripada lapar dan dahaga serta menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit hingga terbenamnya fajar.
Sebagai seorang Islam menahan lapar dan dahaga membolehkan kita memperoleh pahala wajib serta sunat apabila melakukan ibadah sunat di bulan Ramadhan.
Dari aspek sains juga menyatakan yang berpuasa baik untuk kesihatan yang mana organ-organ penghadaman dan pencernaan dapat berehat.
Dari segi kemanusiaan berpuasa dapat melahirkan rasa susah yang ditanggung mangsa-mangsa kebuluran dan kekejaman manusia ke atas manusia.
14 jam menahan lapar adalah jauh berbeza dengan 14 hari menanggung kebuluran. Mereka memerlukan makanan dan hak-hak asasi mereka yang lain.

Secara tradisi tipikal orang Melayu akan berbelanja sehabis-habis untuk berhari raya. Ada yang siap menempah baju raya untuk ke masjid, ke kubur, ke rumah saudara-mara dan tidak kurang yang berfikiran satu hari raya satu pasang baju raya di negara 1Malaysia.

Ada yang menabung semata-mata untuk dibelanjakan hanya untuk berhari raya. Aku bukan nakmenghalang namun kepingin bertanya adakah Rasulullah mengajar untuk berhabis-habisan di hari raya? Yang aku tahu memang kita disunatkan untuk berhias dengan pakaian yang terbaik serta berwangi-wangian di hari raya. Namun bukan berpesta sakan di Hari Raya Aidilfitri.

"Ada dua kegembiraan untuk orang-orang yang berpuasa, yang pertama kegembiraan ketika berbuka puasa ketika fajar terbenam dan yang kedua kegembiraan bertemu dengan Tuhannya"

Memanglah kita tidak boleh bersedih di hari raya. Dan sekali lagi bukan berpesta di hari raya. Kadang-kadang ada yang menangis kerana tidak dapat bersama keluarga di hari raya. Aku pun pernah rasa. Sentiasa alami perasaan itu. Namun yang pergi tetap pergi dan yang tinggal teruskan perjuangan.

Aku hanya ingin menyentuh budaya pembaziran yang berlaku di bulan Ramadhan yang amat ketara namun masih ketara. Semua tahu yang syaitan telah dikurung di neraka sepanjang bulan Ramadhan. Ini adalah anugerah Allah yang amat besar untuk hamba-hambaNya. Tetapi mengapa pembaziran masih berlaku?

Nafsu.Nafsu.Nafsu

Nafsu makan dapat dilihat apabila ke bazar Ramadhan ramai yang membeli-belah seprti ingin berkenduri. Namun perut yang perlu diisi hanya satu dan mempunyai batasan kapasiti. Makanan yang tidak dapat dihabiskan berkemungkinan besar akan dibuang dan pembaziran nyata kelihatan.

Nafsu berhias. Pakaian diborong seperti ingin membuat bukit pakaian. Jika sekali Syawal 8 pasang baju baru wajib dibeli, bagaimana dengan 5 kali Syawal? 10 kali?
Baju yang sudah lama disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Memang mulia. Namun mereka punya perasaan. Memakai pakaian terpakai seperti seorang yang tidak mampu. Mujur mereka tahu bersyukur. Mengapa tidak membeli untuk keperluan? Jika betul harta kita banyak kenapa tidak membelikan pakaian baru untuk mereka yang perlu? Berilah mereka peluang untuk merasa 'first-worn outfit'. Kongsilah kegembiraan kita bersama mereka.

Jika yang memiliki sebukit emas mungkin wang bukan masalah. Bagi mereka yang berstatus sederhana? Dek kerana ingin merasa kegembiraan sementara habis wang gaji serta tabungan dan kehidupan selepas hari raya menjadi kucar-kacir. Diharap tidak sehingga menjadi pencuri atau pelarian yang lari daripada membayar hutang.

Jika ingin berbicara tentang Ramadhan, 30 hari belum tentu cukup untuk berhujah mengenainya.
Selamat Menjalani Ibadah Puasa Dan Diharap Ramadhan Kita Bukan Sekadar Menahan Lapar Dan Dahaga

'The devils aren't here but we are'